Khamis, 3 Januari 2019 | 2:48pm
SUSPEK berusia 20 dan 40 tahun diiringi anggota polis untuk menunjukkan barangan curi yang disorokkan di tanah perkuburan Islam di Jalan Pandaruan, Limbang. - ihsan PDRM
SUSPEK berusia 20 dan 40 tahun diiringi anggota polis untuk menunjukkan barangan curi yang disorokkan di tanah perkuburan Islam di Jalan Pandaruan, Limbang. - ihsan PDRM

Sorok barang curi di kubur

LIMBANG: Tindakan dua lelaki yang menyembunyikan barangan yang dicuri di tanah perkuburan Islam di Jalan Pandaruan, di sini, bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak menjadi selepas mereka ditahan, baru-baru ini.

Suspek berusia 20 dan 40 tahun itu membawa polis ke tanah perkuburan berkenaan jam 3.40 petang semalam selepas siasatan lanjut dijalankan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata dua lelaki itu dipercayai terbabit dengan pelbagai kes curi di sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu sebelum itu ditahan polis jam 10.48 pagi di belakang bangunan di Jalan Sungai Kudong.

Menurutnya, suspek bertindak menyembunyikan barangan yang dicuri di kawasan tanah perkuburan itu bagi memastikan kegiatan mereka tidak dapat dihidu polis.

“Pemeriksaan lanjut di tanah perkuburan berkenaan kemudian menemui pelbagai barangan dipercayai dicuri suspek antaranya tabung, pelbagai barangan elektronik seperti pemain cakera video digital (DVD), dekoder televisyen satelit, televisyen dan kabel elektronik.

“Suspek mengakui menyembunyikan barangan di tanah perkuburan kerana yakin ia tidak diketahui umum sebelum dijual kepada pasaran gelap dengan harga yang lebih rendah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek turut membuang tabung wang yang dicuri selain membakar pelbagai barangan bagi melupuskan barangan bukti daripada dikesan polis.

Tambahnya, polis yakin dengan penahanan suspek, beberapa kes curi dan pecah rumah di sekitar daerah ini berjaya diselesaikan namun siasatan lanjut masih giat dijalankan.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda,” katanya.

Berita Harian X