Rabu, 2 Januari 2019 | 5:38pm

2 rakan dipenjara 25 hari curi minuman keras

PETALING JAYA: Dua rakan masing-masing dipenjara 25 hari dan didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri satu karton minuman keras di sebuah pasar raya, akhir Disember lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur, Abdul Rahman Soleh Habidin Dabalubun, 26, dan buruh, Abd Wahab Jabaei, 53, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara dua hari lagi, sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdul Rahman dan Abd Wahad didakwa mencuri satu karton minuman keras jenama ‘Tiger’ milik pasar raya 99 Speedmart Sdn Bhd bernilai RM126.50.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di premis pasar raya itu di Jalan Intan 1, Taman Puchong Intan, Puchong, di sini, jam 4.30 petang, pada 29 Disember 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak mampu membayar denda selain sudah insaf atas kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, membantah rayuan itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira faktor kekerapan kes curi di pasar raya yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Berita Harian X