Ahad, 23 Disember 2018 | 10:07pm
KEADAAN Perodua Axia selepas bertembung dengan motosikal berkuasa tinggi di Jalan Sulaman-Serusup berhadapan Tuaran Futsal Arena di sini, petang tadi. - Foto Ihsan bomba
KEADAAN Perodua Axia selepas bertembung dengan motosikal berkuasa tinggi di Jalan Sulaman-Serusup berhadapan Tuaran Futsal Arena di sini, petang tadi. - Foto Ihsan bomba

Polis maut motosikal berkuasa tinggi bertembung kereta

TUARAN: Seorang anggota polis maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh Perodua Axia yang memasuki laluan bertentangan di Jalan Sulaman-Serusup berhadapan Tuaran Futsal Arena di sini, petang tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 2.30 petang itu, Mohd Norzanyzan Mohd Din, 39, yang menunggang Kawasaki Z900 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pelbagai kecederaan pada seluruh badan.

Mangsa yang berpangkat sarjan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran, Asisten Superintendan Raji Hussin Suhodin, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa menunggang di jalan lurus dari arah Kota Kinabalu menghala Tuaran.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 39 tahun dan membawa tiga penumpang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan untuk memasuki simpang ke Tuaran Futsal Arena.

“Berikutan itu, penunggang motosikal gagal mengelak lalu merempuh bahagian hadapan kiri Perodua Axia,” katanya kepada NSTP.

Difahamkan, empat individu yang berada dalam Perodua Axia tidak mengalami sebarang kecederaan.

Raji Hussin berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan polis turut memohon saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X