Sabtu, 22 Disember 2018 | 3:24pm
Polis KL menahan 74 wanita warga asing dipercayai pelayan sebuah pusat hiburan ternama di Jalan P Ramlee, tengah malam tadi. - Ihsan Polis
Polis KL menahan 74 wanita warga asing dipercayai pelayan sebuah pusat hiburan ternama di Jalan P Ramlee, tengah malam tadi. - Ihsan Polis

Polis KL tahan 74 pelayan kelab malam

KUALA LUMPUR: Seramai 74 wanita warga asing ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan terkemuka di Jalan P Ramlee, di sini, tengah malam tadi.

Selain dikesan melakukan kesalahan menggaji wanita asing sebagai pelayan, pusat hiburan itu juga didapati beroperasi tanpa lesen.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada warga Filipina, Vietnam, Uzbekistan, Turki, Krygyzstan, Ukraine yang dipercayai bertindak sebagai pelayan pusat hiburan berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati wanita warga asing ini akan duduk bersama pelanggan yang ingin minum bersama mereka dengan bayaran RM100.

“Pemeriksaan susulan mendapati sebahagian mereka memasuki negara ini sebagai pelancong namun bekerja sebagai pelayan,” katanya selepas operasi berkenaan, awal pagi tadi.

Katanya, polis turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai penghantar minuman.

Sebelum ini pusat hiburan sama sering diserbu atas kesalahan sama namun masih meneruskan operasi hiburan dari jam 5 petang hingga 3 pagi.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan selain ada yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Semua mereka disiasat menurut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X