Khamis, 20 Disember 2018 | 12:06pm
Sebuah lori merempuh di belakang sebuah lagi lori dalam kemalangan di Kilometer 316.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang membabitkan seorang pemandu lori, Abd Halim Rashid, 47, maut. - Foto ihsan Bomba
Sebuah lori merempuh di belakang sebuah lagi lori dalam kemalangan di Kilometer 316.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang membabitkan seorang pemandu lori, Abd Halim Rashid, 47, maut. - Foto ihsan Bomba

Pemandu lori maut nahas

TAPAH: Lelaki berusia 47 maut selepas lori dipandu merempuh belakang sebuah lori lain dalam kemalangan di Kilometer 316.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, Abd Halim Rashid yang beralamat di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, maut di lokasi kejadian, manakala pemandu lori lain berusia 25 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lori berkenaan dalam perjalanan dari selatan menghala ke utara.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lagi lori.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X