Khamis, 20 Disember 2018 | 8:36am

SPRM sangkal dakwaan terima arahan 'butakan mata' kes TH

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal dakwaan kononnya menerima arahan untuk 'membutakan mata' terhadap bukti serta mengugut saksi dalam siasatan kes membabitkan seorang pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH).

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan bahawa SPRM sentiasa bersikap profesional dan mengikut ‘rule of laws’ semasa menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Tangkapan atau penahanan yang dilakukan SPRM bertujuan untuk membantu siasatan berdasarkan asas-asas kukuh.

"SPRM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), undang-undang dan peraturan yang ditetapkan semasa menjalankan siasatan dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu atau organisasi demi membersihkan negara ini daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya.

Tambah kenyataan itu, perbuatan mengeluarkan kenyataan oleh mana-mana pihak atau individu berhubung kes yang sedang disiasat boleh mengganggu dan menjejaskan perjalanan siasatan yang juga seolah-olah memaksa SPRM mendedahkan hasil siasatan kepada masyarakat.

"SPRM tidak akan membuat sebarang pendedahan terhadap hasil siasatan dan hanya akan menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya bagi membuat keputusan secara profesional," katanya.

Kenyataan SPRM itu merujuk kepada kes seorang pengurusan kanan TH bergelar Datuk direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah bernilai RM400,000.

Namun laporan berita penahanan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) TH, Datuk Adi Azuan, bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kerja pengubahsuaian rumah di kediamannya dianggap berat sebelah.

Semalam, Peguambela dan Peguamcara, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata anak guamnya sudah menyerahkan semua bukti komunikasi dengan syarikat kontraktor berkenaan bahawa kos bagi kerja pengubahsuaian dapur rumah beliau ditanggung sendiri.

Katanya, pihak kontraktor juga sudah memberikan sebut harga dan butiran perbincangan semua rekaan dalam dokumen dan tidak dibuat atas kapasiti jawatan anak guam kami.

"Anak guam kami juga sudah menyerahkan bukti empat keping cek Maybank kepada pihak kontraktor sebagai bayaran perkhidmatannya memasang kabinet dapur," katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP semalam.

Menurut Khairul Azam, kesemua cek adalah daripada akaun peribadi anak guamnya dan dibayar secara berperingkat mengikut proses kerja.

"Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan ‘membutakan’ mata terhadap semua bukti berkenaan dan siasatan dilakukan bagi mengaitkan kononnya anak guam kami mendapat khidmat percuma dari kontraktor TH atas kapasiti jawatannya.

"Semua saksi kejadian diugut untuk memberi keterangan palsu terhadap anak guam kami," katanya.

Berita Harian X