X
Khamis, 29 November 2018 | 7:46pm
HASANAH ketika hadir di Kompleks Mahkmah Kuala Lumpur bagi sebutan kes pecah amanah wang kerajaan. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad
HASANAH ketika hadir di Kompleks Mahkmah Kuala Lumpur bagi sebutan kes pecah amanah wang kerajaan. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

Pendakwaan serah 46 dokumen

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan sudah menyerahkan kepada pembelaan sebanyak 46 dokumen bagi kes pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta yang dihadapi bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad, ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, di sini, hari ini.

Muhammad Iskandar turut memberitahu antara dokumen yang diserahkan kepada pihak pembelaan termasuk rakaman percakapan, senarai sitaan dan surat pelantikan Hasanah sebagai Ketua Pengarah.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan masih terdapat beberapa dokumen daripada Jabatan Imigresen dan Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang perlu diserahkan kepada peguam bela.

Perkara itu kemudian disahkan peguam bela Hasanah, Datuk Shaharudin Ali dan Khairul Azam Abdul Aziz.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 3 Januari ini untuk serahan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah dan sebutan semula kes.

Terdahulu, pada prosiding itu, Shaharudin memberitahu mahkamah bahawa akaun bank anak guamnya dibekukan oleh pihak SPRM.

Katanya, akaun bank yang dibekukan itu mengandungi wang pencen dan gratuiti serta tiada kena mengena dengan wang yang dicurigai.

“Pembekuan akaun bank itu menyukarkan anak guam kami untuk membuat pembayaran termasuk yuran guamannya,” katanya.

Mahkamah kemudian meminta pihak pendakwaan untuk merujuk perkara itu kepada SPRM dan memberi maklum balas kepada permohonan pembelaan.

Shaharudin turut memaklumkan pihaknya akan mengemukakan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Bagaimanapun kami memohon kes ini didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang tidak terbabit kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hasanah didakwa sebagai penjawat awam, iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 April dan 9 Mei lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Berita Harian X