Rabu, 28 November 2018 | 9:18pm

Op Rentap Khas turunkan kadar jenayah ragut, samun

KUALA LUMPUR: Seramai 28 suspek kes ragut dan samun termasuk 18 suspek dalam senarai orang dikehendaki ditahan menerusi Operasi Rentap Khas (Op Rentap Khas) Polis Kontinjen Kuala Lumpur sejak pertengahan bulan ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata operasi bermula 14 November dan berakhir Isnin lalu itu berjaya mengurangkan kadar jenayah ragut dan samun sehingga 65 peratus di sekitar Dang Wangi.

“Untuk tempoh sama tahun lalu, sebanyak 46 kes samun dan ragut dicatatkan, namun sebaik operasi khas itu dilancarkan bulan lalu, jumlah kes menurun kepada 16 kes sahaja tahun ini.

“Ini menunjukkan operasi yang fokus menurunkan jenayah jalanan terutamanya samun dan ragut itu berkesan,” katanya kepada pemberita pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di pusat beli belah Suria KLCC di sini, hari ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan 28 tangkapan, 18 suspek dikehendaki termasuk seorang wanita ditahan susulan risikan dan pemantauan, manakala 10 lagi ditahan ketika melakukan jenayah.

“Semua mereka berusia antara 13 tahun hingga 50-an, seorang daripadanya warga Myanmar dan selebihnya rakyat tempatan.

“Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama baik antara Polis Kuala Lumpur bersama pasukan polis bantuan dan unit keselamatan syarikat swasta di ibu negara,” katanya.

Ini kerana katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bahagian luar bangunan masing-masing banyak membantu siasatan polis.

Mazlan berkata, Op Rentap Khas yang dilaksanakan secara berkala mungkin disambung dua minggu lagi kerana ia membawa kesan positif mengurangkan kadar jenayah.

“Seramai 120 pegawai dan anggota daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Pasukan Kereta Peronda (MPV), Unit Polis Pelancong, Bahagian Operasi dan Risikan (D4) Bahagian Siasatan Jenayah serta balai-balai polis terbabit dengan operasi ini.

“Ia dilaksanakan 24 jam untuk menunjukkan kehadiran polis di kawasan tumpuan awam dan pelancong terutamanya di Bukit Bintang, Jalan Changkat, Jalan Raja Chulan dan Jalan Petaling.

“Ada kemungkinan operasi ini disambung sehingga tahun hadapan,” katanya.

Berita Harian X