Isnin, 26 November 2018 | 6:59pm
MOHAMADDIN Ketapi menerima cenderahati daripada Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail (dua dari kiri) selepas merasmikan Festival Kraf Borneo di Lintasan Deasoka Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
MOHAMADDIN Ketapi menerima cenderahati daripada Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail (dua dari kiri) selepas merasmikan Festival Kraf Borneo di Lintasan Deasoka Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

SPRM bebas untuk siasat - Mohamaddin

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata kementeriannya bebas untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan memberi kontrak secara terus dengan adanya unsur ‘campur tangan’ ahli keluarga.

Beliau berkata, badan itu juga boleh menyiasat pada bila-bila masa.

Mohamaddin turut menegaskan beliau bukan sasaran atau individu yang dikaitkan, namun tuduhan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tiada apa yang kita sembunyikan... bebas untuk disiasat bila-bila masa,” katanya kepada media selepas merasmikan Festival Kraf Borneo 2018 di sini hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan SPRM sedang menyiasat dakwaan satu kementerian memberi kontrak secara terus dengan adanya unsur ‘campur tangan’ anak kepada menteri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata, jika ada permintaan daripada kerajaan Sabah bagi mengembalikan cukai pelancongan untuk negeri ini, ia akan dipertimbangkan.

“Kita akan lihat dan kaji keperluan... namun perlu kita tahu bahawa jika satu negeri buat permintaan, negeri lain pun akan membuat perkara sama. Justeru, buat masa ini, kita akan kekalkan jumlah cukai yang diberi,” katanya.

Beliau mengulas cadangan bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun supaya kerajaan Persekutuan mengembalikan jumlah cukai pelancongan penuh yang dikutip dari Sabah ke negeri ini supaya kerajaan negeri dapat melaksanakan projek sendiri untuk meningkatkan industri itu.

Terdahulu, beliau berkata, kerajaan menyasarkan RM500 juta nilai jualan industri kraf seluruh negara pada tahun ini yang mana setakat ini nilainya sudah mencecah RM421 juta.

Festival Kraf Borneo 2018 yang berlangsung selama 11 hari itu hingga 3 Disember ini menyediakan pelbagai aktiviti berkonsepkan “The Living Treasure Of Borneo: Khazanah Warisan Borneo” yang menampilkan aspek seni dan budaya Sabah serta Sarawak.

Berita Harian X