Sabtu, 24 November 2018 | 3:14pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Sungai Pinang, Bau, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Sungai Pinang, Bau, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

'Sayu lihat isteri maut depan mata'

BAU: Seorang suami hanya mampu melihat isterinya menghembuskan nafas terakhir selepas kenderaan dipandu bertembung dari laluan bertentangan dalam nahas di Jalan Kampung Sungai Pinang, di sini pagi tadi.

Lebih menghibakan, akibat pertembungan dengan sebuah kenderaan jenis Honda Civic itu, si suami sekadar mampu melihat jasad isterinya yang kaku, selepas dirinya tersepit di bahagian pemandu, namun masih sedarkan diri akibat pelanggaran terbabit.

Dalam kejadian pada jam 8.23 pagi itu, isteri mangsa, Muring Tambat, 47, parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata suami kepada mangsa pula terselamat, namun mengalami kecederaan parah, selain tersepit di bahagian tempat pemandu.

“Kenderaan Perodua Kelisa dinaiki mangsa dilaporkan bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Honda Civic. Impak daripada pertembungan berkenaan menyebabkan pemandu Kelisa tersepit.

“Bagaimanapun, sebaik ketibaan pasukan bomba kira-kira 10 minit selepas kejadian mendapati, mangsa sudah tidak sedarkan diri, namun badan mangsa tidak tersepit,” katanya.

Ling Hii ketika mengulas lanjut, berkata dua anggota bersama Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian, sambil dibantu lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau.

“Kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa tersepit berjaya dilaksanakan dengan pemandu berkenaan dibawa ke Hospital Bau menggunakan EMRS. Pemandu kenderaan Honda Civic sekadar mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Berita Harian X