Isnin, 19 November 2018 | 5:50pm
KEADAAN kawasan persekitaran selepas dirempuh sebuah kereta sehingga seorang wanita maut manakala sekurang-kurangnya empat lagi pelanggan cedera selepas dilanggar Toyota Hilux yang dipercayai terbabas di sebuah restoran di Taman Equine malam tadi. - Foto BERNAMA
KEADAAN kawasan persekitaran selepas dirempuh sebuah kereta sehingga seorang wanita maut manakala sekurang-kurangnya empat lagi pelanggan cedera selepas dilanggar Toyota Hilux yang dipercayai terbabas di sebuah restoran di Taman Equine malam tadi. - Foto BERNAMA

Pemandu mabuk, tiada lesen

SERDANG: Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melanggar pelanggan sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini, semalam, dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Malah, lelaki berusia lingkungan 20-an yang berasal dari Sarawak itu juga didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, seorang wanita berusia 57 maut, manakala empat lagi parah selepas dilanggar kenderaan terbabit ketika sedang makan di sebuah restoran di Taman Equine, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, soal siasat awal terhadap lelaki itu mendapati suspek mengaku bahawa dia terbabit dalam kejadian itu sebelum melarikan diri.

“Sejurus selepas kejadian, lelaki itu bertindak melarikan diri sebelum kenderaan dipandunya ditemui ditinggalkan di Jalan Indah 1/22, Taman Universiti Indah, Seri Kembangan kira-kira jam 11 malam tadi.

“Kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah milik majikannya. Kami berjaya mengesan pemilik kenderaan itu yang kemudian menyerahkan pemandu terbabit kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada jam 1.43 pagi tadi.

“Suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan semakan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu. Hasil soal siasat awal mendapati lelaki itu mengaku terbabit dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemandu itu didapati negatif dadah dan pihak polis sudah mengambil sampel darah lelaki berkenaan untuk ujian alkohol.

“Pemandu terbabit juga melanggar tiga kenderaan lain sebelum melarikan diri. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.16 malam tadi.

“Seramai 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang bersama empat jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas dan merempuh lima individu termasuk seorang warga Vietnam yang sedang makan di restoran berkenaan.

“Mangsa yang maut adalah Wong Sow Lin berusia 57 tahun manakala Wong Mei Hwa, 36; Lei Kok Lu, 71; Leong Eng How, 35 serta warga Vietnam, Vial Sian Mung, 33 mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan itu turut membabitkan tiga kenderaan milik pelanggan restoran terbabit iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mengalami kerosakan hampir 30 peratus dan dua lagi kereta masing-masing mengalami kerosakan hampir 10 peratus,” katanya.

Mohd Rizal berkata, anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan mengeluarkan seorang mangsa yang tercampak ke dalam longkang.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X