Selasa, 13 November 2018 | 11:00pm

Polis tahan suami tikam isteri

JOHOR BAHRU: Suami kepada wanita yang parah ditikam dekat sebuah pasar raya dekat Persiaran Dahlia 2, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Sabtu lalu, berjaya ditahan polis, petang tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari, yang memaklumkan suspek berusia 24 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Ulu Tiram, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Norazam berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam dan anggota Balai Polis Desa Cemerlang.

“Tangkapan adalah suami kepada mangsa ditemui di dalam sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Ulu Tiram. Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku melakukan kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan polis masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan tahanan reman akan dipohon bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, Norazam turut merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang membantu dan memberi maklumat.

Terdahulu, Polis Daerah Seri Alam berusaha mengesan suspek lelaki itu yang disyaki menikam isterinya dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam.

Mangsa seorang wanita berusia 21 tahun itu cedera ditikam di bahagian leher, bahu dan dada menggunakan pisau pemotong sayur. Siasatan awal mendapati mangsa dan suaminya dalam proses bercerai.

Sebelum ini catatan dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) di laman sosial memohon kerjasama orang ramai mencari seorang lelaki dengan gambar yang disertakan.

Dakwa wanita berkenaan, lelaki terbabit menikam sepupunya berkali-kali di pasar raya berkenaan. Turut dimuat naik, video selama 15 saat yang memaparkan mangsa wanita itu terbaring di atas jalan raya dengan kesan darah yang banyak sambil tangannya memegang lehernya dan meminta tolong.

Berita Harian X