Isnin, 12 November 2018 | 10:08am
POLIS Daerah Seri Alam dalam usaha mengesan seorang lelaki yang disyaki menikam isterinya dalam satu kejadian di sebuah pasar raya dekat Persiaran Dahlia 2, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. - Foto Tular Media FB
POLIS Daerah Seri Alam dalam usaha mengesan seorang lelaki yang disyaki menikam isterinya dalam satu kejadian di sebuah pasar raya dekat Persiaran Dahlia 2, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. - Foto Tular Media FB

Polis buru suami tikam isteri

JOHOR BAHRU: Polis Daerah Seri Alam dalam usaha mengesan seorang lelaki yang disyaki menikam isterinya dalam satu kejadian di sebuah pasar raya dekat Persiaran Dahlia 2, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Norazam Shaari, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa seorang wanita berusia 21 tahun cedera ditikam di bahagian leher, bahu dan dada menggunakan pisau pemotong sayur.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suaminya dalam proses perceraian. Kejadian itu berlaku di dalam pasar raya berkenaan dan kita masih dalam siasatan lanjut selain bagi mengesan suspek yang berusia 24 tahun itu,” katanya.

Norazam berkata, mangsa mendapat rawatan di Unit Kecemasan Zon Merah Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan dengan kejadian ini, kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini supaya dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau Hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222,” katanya.

Semalam, satu catatan dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) di laman sosial miliknya yang memohon kerjasama orang ramai mencari seorang lelaki dengan gambar yang disertakan.

Dakwa wanita berkenaan, lelaki terbabit menikam sepupunya berkali-kali di pasar raya berkenaan.

Turut dimuat naik, video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa wanita itu terbaring di atas jalan raya dengan kesan darah yang banyak sambil tangannya memegang lehernya dan meminta tolong.

Berita Harian X