Rabu, 31 Oktober 2018 | 5:48pm
PENGERUSI BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGERUSI BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kerana fitnah, Jamal kena bayar Maria RM300,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos membayar ganti rugi RM300,000 kepada Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat perintah itu selepas mendapati Jamal bertanggungjawab memfitnah dengan mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan kumpulan pengganas DAESH.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, beliau meneliti keterangan plaintif dan defendan serta menimbangkan keterangan itu bersama fakta dipersetujui dan dipertikaikan kedua pihak.

Beliau berkata, selepas menimbangkan hujahan berasaskan penelitian dan pertimbangan, mahkamah mendapati pengucapan oleh Jamal merujuk kepada Maria (plaintif) walaupun secara jelas ia tidak menyebut nama plaintif.

Katanya, mahkamah selanjutnya mendapati pengucapan berkenaan dalam makna semula jadi adalah bersifat memfitnah .

“Pengucapan itu akan memberi kesan menurunkan martabat dan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat umum dan ini akan mendedahkan plaintif kepada rasa benci masyarakat umum kepadanya.

“Pengucapan pada sidang media itu juga akan menyebabkan plaintif dipandang tidak mempunyai integriti dan tingkah laku serta tidak boleh dipercayai.

“Saya mendapati pengucapan berunsur fitnah itu disiarkan,” katanya.

Mohd Zaki berkata, berdasarkan bahawa pengucapan itu berbaur fitnah, mahkamah perlu menimbangkan sama ada defendan berjaya membuktikan pembelaan yang mereka timbulkan.

Katanya, mahkamah mendapati Jamal gagal membuktikan komen pembelaan keistimewaan bersyarat bahawa pengucapan itu mempunyai tugas dari segi perundangan, kemasyarakatan atau moral dan pembelaan komen saksama.

“Berasaskan dapatan di atas, tuntutan plaintif dibenarkan dengan kos.

“Berasaskan pertimbangan itu saya memutuskan jumlah ganti rugi RM300,000 adalah adil dan patut diberikan kepada plaintif,” katanya.

Mohd Zaki turut memerintahkan Jamal yang diwakili peguam V Mugunathan dan Mohamed Nasir Yusof, membayar kos RM40,000.

Maria diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya.

Dalam writ saman dan penyataan tuntutan difailkan pada 7 Oktober 2016, Maria berkata Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GNGOM) mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu sidang media di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 28 September tahun sama.

Jamal yang dinamakan selaku defendan juga didakwa mengeluarkan perkataan fitnah kedua pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 4 Oktober 2016.

Kata plaintif, perkataan fitnah itu kemudian disiarkan dalam media cetak dan elektronik serta di portal berita seluruh negara.

Katanya, ia membawa maksud beliau seorang yang ganas dan tidak mematuhi undang-undang serta beliau seorang ejen DAESH.

Maria berkata, ia juga membawa maksud bahawa beliau bersubahat dengan kumpulan pengganas dan terbabit dengan keganasan.

Sehubungan itu, Maria Chin menuntut daripada Jamal, ganti rugi am dan teruk serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah sama.

Berita Harian X