Isnin, 29 Oktober 2018 | 3:04pm
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah yang dijalankan di Taman Wawasan Mersing pada sesi sidang media yang diadakan di IPD Mersing, Mersing. - Foto Nurul Amanina Suhaini
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah yang dijalankan di Taman Wawasan Mersing pada sesi sidang media yang diadakan di IPD Mersing, Mersing. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Pecah masuk rumah ibu bapa angkat

MERSING: Tak kenang budi! Begitulah yang boleh diibaratkan seorang wanita yang dibela sejak kecil oleh ibu bapa angkatnya apabila sanggup memecah masuk rumah pasangan warga tua itu dan mencuri pelbagai barangan berharga bernilai kira-kira RM50,000.

Wanita itu bersama suaminya yang kedua-duanya berusia 38 tahun ditahan di rumah mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang kira-kira jam 12 tengah malam pada 17 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata penahanan suami isteri itu susulan laporan diterima berhubung kejadian pecah rumah di Kampung Teriang, Endau, dekat sini, pada 14 Oktober lalu.

Katanya, mangsa bersama suaminya yang masing-masing berusia 75 tahun ketika itu baru pulang dari rumah anaknya di Johor Bahru, sebelum mendapati rumah mereka dalam keadaan berselerak dan pintu dapur terbuka.

“Pihak polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian sejurus menerima laporan mendapati beberapa barangan kemas milik mangsa hilang termasuk rantai leher, rantai tangan, gelang tangan dan beberapa bentuk cincin, selain komputer riba dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Bertindak atas risikan maklumat, pada jam 12.05 tengah malam, 17 Oktober lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menahan sepasang suami isteri yang mana suspek wanita juga adalah anak angkat mangsa yang dibela sejak kecil.

“Penahanan suspek membawa kepada penemuan barang kemas yang dilaporkan hilang iaitu tiga bentuk cincin, dua gelang dan seutas rantai tangan, manakala seutas rantai leher seberat 108.78 gram sudah dijual di kedai pajak gadai,” katanya pada sidang media di IPD Mersing, dekat sini, hari ini.

Turut dirampas, telefon bimbit, dokumen penjualan barang kemas di kedai pajak, selain sejumlah salinan pembayaran berserta wang tunai berjumlah RM1,800.

Cyril berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai anak lelaki berusia empat tahun itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Katanya, kedua-dua suspek mengaku bersalah ketika didakwa Mahkamah Majistret Mersing pada 24 Oktober lalu dan tertuduh wanita dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan, manakala suaminya dihukum penjara 16 bulan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Mersing dan Rompin, Pahang berikutan penahanan dua lelaki di pekarangan Medan Selera Wawasan, Taman Wawasan Mersing, Rabu lalu.

Katanya, kedua-dua lelaki tempatan berusia 33 hingga 48 tahun itu dipercayai aktif mengedar dadah di daerah berkenaan sejak 10 bulan lalu.

“Pemeriksaan mendapati bungkusan plastik yang dipegang seorang suspek mengandungi lapan bungkusan keratan akhbar. Di dalamnya pula terdapat lapan plastik lutsinar mengandungi serbuk ketulan disyaki heroin.

“Polis merampas dadah keseluruhan bernilai RM64,000, wang tunai dan sebuah kereta Honda Civic, selain kedua-dua suspek didapati positif Methamphetamine,” katanya.

Berita Harian X