Isnin, 15 Oktober 2018 | 1:13pm
TINJAUAN lokasi kejadian pekerja warga Bangladesh yang terjatuh dari siling hotel lima bintang di Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
TINJAUAN lokasi kejadian pekerja warga Bangladesh yang terjatuh dari siling hotel lima bintang di Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Majikan pekerja jatuh siling hotel boleh dipenjara, didenda

KUALA LUMPUR: Majikan serta kontraktor kepada pekerja warga Bangladesh yang terjatuh dari siling hotel lima bintang di Jalan Stesen Sentral di sini, semalam, boleh dipenjara dua tahun atau denda RM50,000.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata hukuman itu boleh dikenakan jika didapati mereka gagal menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat kepada pekerja berkenaan, seperti termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA)1994.

Katanya, majikan juga bertanggungjawab menyediakan latihan dan peralatan perlindungan diri (PPE), dan pekerja pula wajib menggunakannya.

“Mereka juga perlu patuh pada Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970 serta mengikuti Garis Panduan Mengelak Terjatuh di Tempat Kerja, yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pada 2007.

“Jika mereka melaksanakan Perkara 12 dalam Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970, keselamatan pekerja yang bekerja pada ketinggian lebih 10 kaki boleh dipelihara, dengan menyediakan tali dan abah-abah.

“Pihak yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu juga boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, seorang pekerja warga Bangladesh cedera di kepala selepas terjatuh ketika sedang melakukan kerja baik pulih pendawaian elektrik di bahagian atas siling plaster di ruang lobi hotel, sebelum terjatuh dari ketinggian kira-kira 12 meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dilaporkan berkata, tiada runtuhan besar pada struktur hotel dan kejadian hanya membabitkan siling di ruang lobi akibat gagal menampung pekerja berkenaan.

Lam Thye berkata, garis panduan disediakan DOSH memerlukan pekerja memakai PPE dan insiden terjatuh daripada tempat tinggi boleh dielakkan jika perkara asas dan keperluan keselamatan dilaksanakan.

“Walaupun garis panduan itu tidak terikat pada undang-undang, namun ia mencadangkan langkah keselamatan supaya majikan atau individu yang bekerja sendiri, melaksanakan tanggungjawab mereka seperti termaktub mengikut OSHA 1994,” katanya.

Berita Harian X