Selasa, 2 Oktober 2018 | 10:41am
Keadaan motosikal yang dinaiki Nurul Anis Shafinaz Abdullah,17, dari Kampung Charok Salang, Parit Panjang yang maut dalam kemalangan selepas berlanggar dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 22, Jalan Parit Panjang- Baling, petang semalam. - Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal yang dinaiki Nurul Anis Shafinaz Abdullah,17, dari Kampung Charok Salang, Parit Panjang yang maut dalam kemalangan selepas berlanggar dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 22, Jalan Parit Panjang- Baling, petang semalam. - Foto ihsan PDRM

Pelajar Tingkatan Lima maut motosikal tembung lori

BALING: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung lori sebelum mangsa digilis di Kilometer (KM) 22 Jalan Baling-Parit Panjang, dekat sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.20 petang, Nurul Anis Shafinaz Abdullah, 17, dari Kampung Charok Salang, Parit Panjang, cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Baling pada jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata ketika kejadian, motosikal mangsa dipercayai sedang mengekori sebuah kereta Perodua Viva dari arah Parit Panjang menghala ke Baling.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta di hadapan mangsa dikatakan berhenti secara mengejut menyebabkan motosikal jenis SYM ditunggang mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori.

“Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Baling, namun dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Shariffuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh di tengah jalan dan cuba bangun sebelum digilis lori berkenaan.

“Pemandu kereta berusia 23 tahun dan pemandu lori berumur 26 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.

Berita Harian X