Isnin, 1 Oktober 2018 | 6:42pm

Nyaris maut ditimpa pokok tumbang

KLANG: Pemandu sebuah kereta nyaris maut apabila dahan sebatang pokok tumbang menghempap kenderaannya di Jalan Pekan Baru, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 petang tadi, hujan lebat dan ribut di sekitar Klang menyebabkan beberapa lokasi terjejas teruk akibat pokok tumbang dan zink pada struktur bangunan melayang.

Mangsa, kakitangan swasta, Nordin Ahmad, 40, berkata, kejadian berlaku ketika beliau sedang memandu di jalan itu untuk menuju ke sebuah kedai yang terletak tidak jauh dari situ.

“Ketika saya melalui jalan itu angin tidak terlalu kuat, namun saya lihat banyak pokok yang sudah tumbang, apabila saya melintasi sebuah kawasan perumahan tiba-tiba sebuah pokok tumbang betul-betul depan mata menyebabkan serpihan pokok menghempap bumbung kereta,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan cermin hadapan kereta jenis Nissan Almera itu retak dan bumbung kenderaan turut kemek.

“Nasib baik saya hanya bawa perlahan. Jika saya tekan minyak ketika itu belum tentu saya selamat kerana batang pokok itu sangat besar.

“Saya bersyukur berikutan tidak ada perkara buruk yang berlaku. Alhamdulillah, apa yang penting saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Tadika Eng Ann, Joyce Tan, 43, berkata, kejadian itu menyebabkan sengkuap (awning) mudah alih yang dipasang di premisnya roboh.

Beliau berkata, ketika kejadian, hujan sangat lebat dan angin bertiup kencang.

“Tiba-tiba saya dengar ada bunyi seperti zink runtuh, apabila saya menjenguk keluar saya tengok ‘awning’ depan tadika sudah runtuh.

“Namun, kami bersyukur tiada musibah berlaku dan yang penting, semuanya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi di sekitar Klang.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan aliran trafik di Jalan Sireh, Jambatan Musaidin dan Jalan Meru bergerak perlahan ekoran hujan dan kejadian pokok tumbang.

“Pihak kami sedang mengawal lalu lintas dan kerja-kerja pembersihan juga sedang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK),” katanya.

NSTP difahamkan, ribut berkenaan turut menerbangkan bahagian bumbung di sebuah pasar raya di sini, bagaimanapun pengurusan pasar raya terbabit enggan mengulas atau membenarkan pemberita memasuki kawasan berkenaan.

NORDIN Ahmad menunjukkan cermin keretanya retak terkena serpihan pokok selepas kejadian ribut kira-kira jam 2.30 petang tadi di Jalan Pekan Baru, Klang. - Foto Faiz Anuar
NORDIN Ahmad menunjukkan cermin keretanya retak terkena serpihan pokok selepas kejadian ribut kira-kira jam 2.30 petang tadi di Jalan Pekan Baru, Klang. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X