Jumaat, 28 September 2018 | 4:31pm
KEADAAN Zainun yang dirawat di Hospital Pantai, Ipoh selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Tapah. - Foto Farah Suhaidah Othman
KEADAAN Zainun yang dirawat di Hospital Pantai, Ipoh selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Tapah. - Foto Farah Suhaidah Othman

ADUN Chenderoh, isteri antara 12 cedera kemalangan

IPOH: “Saya tidak sempat menekan brek dan kereta terus merempuh lori,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor, 62, yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 329, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Tapah, pagi tadi.

Dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada jam 6.20 pagi itu, isterinya, Datin Sabariah Wahab, patah tulang rusuk.

Sembilan lagi ahli UMNO Padang Rengas yang menaiki kereta Honda CRV dipandu Zainun dan sebuah lagi PROTON Exora, cedera ringan.

Ketika kejadian wakil rakyat itu bersama kumpulannya dalam perjalanan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Kedua-dua kenderaan itu dikatakan merempuh sebuah lori yang terbalik di hadapan mereka di atas lebuh raya berkenaan.

Lelaki berusia 33 tahun yang memandu lori turut cedera, sekali gus menjadikan bilangan keseluruhan mangsa cedera dalam kemalangan itu seramai 12 orang.

Zainun berkata sebelum kemalangan, isterinya memberitahu ada objek putih melintang di hadapan laluan mereka namun beliau tidak dapat mengenal pasti objek berkenaan berikutan keadaan gelap lalu merempuh lori itu.

Beliau dan isteri dipindahkan dari Hospital Tapah ke hospital swasta di sini tengah hari tadi bagi menerima rawatan lanjut selepas kejadian itu.

“Doktor di Hospital Tapah membenarkan saya keluar hospital kerana mengalami luka kecil di kaki, namun saya minta untuk dipindahkan ke hospital (swasta) di sini dan ditempatkan tiga hari di wad bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Isteri pula patah tulang rusuk tetapi keadaannya dilaporkan stabil,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini hari ini.

Zainun berkata beliau yang memulakan perjalanan pada jam 5 pagi terkilan kerana tidak dapat menghadiri PAU akibat kemalangan itu.

“Sedihlah juga tetapi hendak buat macam mana, benda sudah terjadi.

“Tambah pula, isteri baharu sahaja memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Rengas, jadi memang kami mahu tengok suasana berbeza kerana UMNO sudah jadi pembangkang,” katanya.

Berita Harian X