Jumaat, 28 September 2018 | 12:38pm
KENDERAAN yang membawa Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) awal pagi tadi. - Foto Ihsan PDRM
KENDERAAN yang membawa Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) awal pagi tadi. - Foto Ihsan PDRM

ADUN Chenderoh, 12 lagi cedera nahas

TAPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor, dan 12 lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 329, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 6.20 pagi itu, Zainun, 62, memandu Honda CRV, manakala dua lagi kenderaan adalah lori dipandu lelaki berusia 33 tahun dan kereta Proton Exora dipandu mangsa berusia 46 tahun.

Sepuluh lagi mangsa turut cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan batu forselin dalam perjalanan dari utara menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu lori itu gagal mengawal kenderaan berat itu sebelum terbabas di tengah lebuh raya.

“ADUN Chenderoh dan pemandu kereta Exora yang turut dalam perjalanan dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh lori terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan wakil rakyat berkenaan dan pemandu lori dan pemandu Exora cedera.

“Dalam kemalangan itu, seramai 13 mangsa termasuk ketiga-tiga pemandu cedera dan menerima rawatan di Hospital Tapah.

“Sepuluh lagi mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti dan semua mangsa tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati lebuh raya berkenaan adalah jalan lurus dan mempunyai dua lorong.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca hujan lebat. Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.09 pagi.

Beliau berkata, anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati lori membawa muatan jubin seramik berkenaan dalam keadaan terbalik di tengah lebuh raya.

“Pemandu lori cedera ringan dan sudah dikeluarkan oleh orang awam pada ketika itu.

“Dua penumpang wanita dalam kereta Proton Exora berusia lingkungan 45 tahun dan seorang penumpang wanita dalam CRV tersepit dan tidak dapat dikeluarkan.

“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan cedera dengan menganjakkan kerusi. Semua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pihak bomba sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat jam 7.16 pagi.

Berita Harian X