Khamis, 27 September 2018 | 6:34pm
DUA maut termasuk seorang pelajar yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 110Z terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan di Kilometer 77, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Kampung Nibong, Tanah Merah pagi tadi. - Ihsan Pembaca
DUA maut termasuk seorang pelajar yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 110Z terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan di Kilometer 77, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Kampung Nibong, Tanah Merah pagi tadi. - Ihsan Pembaca

Dua maut selepas bertembung

TANAH MERAH: Dua maut termasuk seorang pelajar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 77 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Kampung Nibong, Tanah Merah, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa Ahmad Yusri Abdul Hadi, 16, yang menunggang motosikal cedera di beberapa anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta, Muhammad Izzarul Ariff Ibrahim, 20, yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, sebelum kejadian, Muhammad Izzarul Ariff yang memandu kereta Proton Wira dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli, manakala Ahmad Yusri menunggang motosikal Yamaha Lagenda 110Z dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di tempat kejadian pemandu kereta dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh pelajar yang sedang menunggang motosikal terbabit.

“Kereta itu kemudian terbabas ke garaj rumah yang berada di tepi jalan dengan menyeret bersama motosikal pelajar itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Ahmad Yusri maut di tempat kejadian manakala Muhammad Izzarul Ariff meninggal dunia di Hospital Tanah Merah.

“Sebaik bedah siasat selesai, jenazah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X