Rabu, 26 September 2018 | 3:36pm
ANTARA barang yang dirampas penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur selepas menyerbu sebuah stor di Taman OUG Parklane. - Ihsan KPDNHEP
ANTARA barang yang dirampas penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur selepas menyerbu sebuah stor di Taman OUG Parklane. - Ihsan KPDNHEP
ANTARA barang yang dirampas penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur selepas menyerbu sebuah stor di Taman OUG Parklane. - Ihsan KPDNHEP
ANTARA barang yang dirampas penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur selepas menyerbu sebuah stor di Taman OUG Parklane. - Ihsan KPDNHEP

Barang tiruan lebih setengah juta ringgit

KUALA LUMPUR: Lebih 4,000 pasang kasut, kemeja-T dan seluar sukan tiruan bernilai RM584,000 dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur yang menyerbu sebuah stor di Taman OUG Parklane, Jalan Klang Lama, jam 12.45 tengah hari semalam.

Dalam serbuan dijalankan menerusi Ops Barang Tiruan diketuai Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNHEP Kuala Lumpur, Ahmad Wildan Mat Hussin, sebanyak 2,800 pasang kasut, 140 helai kemeja-T dan 340 helai seluar sukan menggunakan satu jenama sukan antarabangsa dan dijual sebagai barang asli di beberapa pusat beli-belah sekitar Lembah Klang dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Low Swee Hon berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan dan intipan hampir tiga bulan dilakukan penguat kuasa KPDNHEP.

Katanya, kesemua barang tiruan itu dikesan dijual kepada pelanggan sebagai barangan asli menerusi promosi di ruang legar beberapa pusat beli-belah terkenal.

“Barangan berkenaan diisytihar sebagai asli dan dijual dengan harga cukup mahal, namun bagi menarik pelanggan, syarikat itu memberi diskaun dan menjualnya pada harga antara RM290 hingga RM350 setiap satu.

“Malah, bagi mengelak dikesan, syarikat yang menjual barang itu lazimnya akan berpindah dari satu premis ke premis lain selepas tiga atau empat hari mengadakan promosi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Swee Hon berkata, menerusi maklumat diterima daripada pemilik cap dagangan jenama berkenaan, KPDNHEP menjalankan intipan serta risikan hampir tiga bulan bagi mengenal pasti lokasi barangan berkenaan disimpan.

“Intipan dan risikan dilakukan sejak awal Julai lalu bagi mengesan di mana kesemua barang itu disembunyikan.

“Malah, semalam, selepas penguat kuasa berjaya mengesan stor berkenaan, seramai enam penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur terus membuat serbuan di situ dan merampas lebih 4,000 barangan tiruan.

Menurut Swee Hon, kesemua barangan berkenaan dirampas mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menjual atau membekalkan barangan menggunakan cap dagangan palsu.

“Dalam serbuan itu juga, tiada tangkapan dilakukan kerana premis berkenaan dibiarkan kosong tanpa penjaga atau pekerja yang dipercayai sudah melarikan diri lebih awal sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa KPDNHEP,” katanya.

Berita Harian X