Rabu, 19 September 2018 | 5:45pm

Isteri, dua anak mangsa nahas masih kritikal

KANGAR: Isteri dan dua anak Konstabel Muhammad Amirul Naim Aziz yang maut dalam nahas ketika ribut di Bukit Chabang, Padang Besar, kelmarin, dilaporkan masih kritikal serta tidak sedarkan diri.

Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata isteri kepada arwah anggotanya itu, Ku Noor Shakila Ku Sharudin, 25, dan dua anak mereka, Mia Iris Safiya, 2, serta Maya Iris Safiya berusia empat bulan, masih bergantung pada alat bantuan pernafasan.

“Menurut laporan perubatan yang kita terima, ketiga-tiga mereka belum sedar dan masih berada di zon merah Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

“Hingga kini, berdasarkan maklumat diperoleh, mereka tidak dibenarkan menerima pelawat dan hanya waris dibenarkan menunggu,” katanya ketika ditemui di Mes Pegawai Kanan IPK Perlis, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan berusaha memastikan kebajikan balu dan dua anak Muhammad Amirul Naim terjamin apabila mereka pulih nanti.

Dalam tragedi jam 9.30 malam kelmarin, Muhammad Amirul Naim, Siti Asmah Abdul Khalid, 27, yang dijangka bersalin anak kedua semalam, dan suaminya, Muhammad Hafiz Johari, 28, maut di lokasi kejadian.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Murano dinaiki Siti Asmah bersama suaminya dan seorang anak perempuan mereka berumur empat tahun, berlanggar dengan kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu Muhammad Amirul Naim.

Jenazah pasangan suami isteri itu bersama bayi dalam kandungan Siti Asmah yang juga gagal diselamatkan, dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Mak, petang semalam.

Jenazah Muhammad Amirul Naim pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seriab, petang semalam.

Berita Harian X