Selasa, 18 September 2018 | 10:11am
Anggota APM Kubang Pasu sedang melakukan kerja pembersihan sebelum mengangkat sebahagian pintu gerbang di Kampung Kandis, di sini yang rosak akibat ditiup angin kencang malam tadi. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kubang Pasu sedang melakukan kerja pembersihan sebelum mengangkat sebahagian pintu gerbang di Kampung Kandis, di sini yang rosak akibat ditiup angin kencang malam tadi. - Foto ihsan APM

2 nyaris maut dihempap pintu gerbang

KANGAR: Dua pemandu nyaris maut dihempap struktur pintu gerbang yang roboh di Persiaran Jubli Emas, ketika kejadian ribut yang melanda negeri ini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, dua pemandu kereta berkenaan sedang melalui laluan berkenaan sebelum struktur pintu gerbang diterbangkan angin dan tumbang ke arah kenderaan mereka.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata struktur pintu gerbang yang roboh menghempap bahagian bumbung kereta yang dipandu pemandu berusia lingkungan 30-an.

"Kedua-dua pemandu dilaporkan tidak mengalami kecederaan, namun berdasarkan laporan yang dibuat, bahagian bumbung kereta mereka rosak teruk selepas terkena serpihan struktur pintu gerbang yang runtuh.

Anggota APM Kubang Pasu membersihkan dahan pokok yang tumpang dalam kejadian ribut dan angin kencang di daerah Kubang Pasu malam tadi. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kubang Pasu membersihkan dahan pokok yang tumpang dalam kejadian ribut dan angin kencang di daerah Kubang Pasu malam tadi. - Foto ihsan APM

"Kejadian juga menyebabkan laluan yang menghubungkan Kangar dan Arau terputus sementara dan kerja mengalihkan struktur sudah selesai dilakukan pada jam 4 pagi tadi," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) terpaksa memotong serpihan pintu gerbang bagi membolehkan struktur yang rosak dialihkan segera.

Wari berkata, laluan berkenaan sudah dibuka semula menjelang pagi ini dan pengguna boleh melaluinya seperti biasa.

"Kejadian ribut malam tadi turut menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar Kangar.

"Seorang remaja turut maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pokok tumbang yang menghalang jalan di kawasan Kampung Baru Tok Kuning kira-kira jam 11.45 malam tadi," katanya.

Berita Harian X