Ahad, 16 September 2018 | 12:05pm
KETUA Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sindiket tawar pelacur Uzbekistan, Kyrgyzstan tumpas

PETALING JAYA: Disyaratkan membayar antara RM300 hingga RM450 bagi layanan seks selama 45 minit.

Itu khidmat ditawarkan beberapa pelacur dari Uzbekistan, Kyrgyzstan, Mongolia, China dan Vietnam yang menjadikan sebuah hotel empat bintang di Petaling Jaya sebagai lokasi menjalankan kegiatan tidak bermoral itu kepada pelanggan termasuk kumpulan elit.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral yang bernaung di bawah satu sindiket pelacuran antarabangsa itu berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membuat serbuan di hotel berkenaan, kelmarin.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata serbuan oleh Bahagian Risikan, Operasi Khas dan Analisa (Unit Operasi Khas) menerusi Operasi Ikrar (Ops Gegar) dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat diterima daripada orang awam.

Katanya, dalam serbuan itu, seramai 14 wanita warga asing yang diletakkan secara berasingan dalam bilik hotel di tiga aras berbeza ditahan.

“Dalam serbuan itu, JIM berjaya menahan sembilan wanita Mongolia, dua wanita China, dan masing-masing seorang wanita dari Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Vietnam.

“Selain 14 wanita berkenaan, JIM turut menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai bekerja untuk sindiket berkenaan dan bertindak sebagai ‘penjaga’ kepada pelacur di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustafar berkata, sindiket pelacuran berkenaan hanya menawarkan khidmat tidak bermoral kepada pelanggan menerusi aplikasi Wechat.

“Sindiket pelacuran itu menggunakan aplikasi Wechat bagi menawarkan khidmat kepada pelanggan yang berminat.

“Malah, menerusi Wechat, semua wanita itu diiklankan sebagai gadis dari Korea dan Jepun ekoran permintaan tinggi pelanggan terhadap gadis dari dua negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, serbuan berkenaan dijalankan selama dua hari dan pihaknya turut menyerbu sebuah lagi hotel di Subang Jaya yang turut dijadikan lokasi sindiket yang sama menawarkan seks kepada pelanggan.

Katanya, dalam serbuan itu, JIM turut merampas wang tunai RM10,700, dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral berkenaan dan sebanyak 18 borang 29 (saman Saksi) dikeluarkan kepada pelanggan serta pekerja hotel yang diserbu bagi membantu siasatan.

“Semua mereka ditahan mengikut kesalahan berbeza iaitu melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Buat masa ini, semua mereka kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan.

Berita Harian X