Rabu, 12 September 2018 | 4:23pm

12 'tukang angkut' tak mengaku salah

KUALA TERENGGANU: Seramai 12 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengangkut 440 karton rokok seludup yang ditaksirkan bernilai RM352,000 menggunakan sebuah lori.

Tertuduh, Isa Yaakob, 44; Mohd Fauzi Ahmad, 60; Mazlan Ismail, 46; Mohd Saberi Mat Nor, 51; Mohd Razani Che Abdul Raseli, 34; Mohamad Fakrul Azlan Afifi Mohd Suki, 23; Mohd Khairul Anuar Md Nor, 27; Mohd Hazmin Mat Husin, 34; Mohamad Fakaruddin Abd Aziz, 27; Noorsharzrien Roeffandiee Juhar, 26; Muhammad Ariff Arifin, 29 dan Mohd Nor Mat Saman, 56, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa mengangkut barangan-barang larangan itu menggunakan lori jenis Hino.

Semua rokok berkenaan adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dengan niat untuk mengelak larangan terhadap barang-barang berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pengkalan Tebing Tembah, Paka, Dungun, jam 4 pagi pada 29 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Muhammad Adam Zahid.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 14 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Dungun.

Mahkamah juga membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, portal NSTP melaporkan polis menahan 12 lelaki yang sedang memindahkan rokok seludup dari sebuah bot ke dalam sebuah lori dalam serbuan di Kampung Tebing Tembah, Paka, Dungun.

SERAMAI 12 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mengangkut 440 karton rokok seludup yang ditaksirkan bernilai RM352,000 menggunakan sebuah lori. - Foto Ghazali Kori
SERAMAI 12 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mengangkut 440 karton rokok seludup yang ditaksirkan bernilai RM352,000 menggunakan sebuah lori. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X