Ahad, 9 September 2018 | 5:24pm
TIGA penumpang maut, 14 cedera selepas bas ekspres dinaiki bergesel dengan sebuah treler dalam kemalangan di kilometer 138 Lebuhraya PLUS, arah selatan dekat Pagoh, 2.30 pagi. - Foto tular media sosial
TIGA penumpang maut, 14 cedera selepas bas ekspres dinaiki bergesel dengan sebuah treler dalam kemalangan di kilometer 138 Lebuhraya PLUS, arah selatan dekat Pagoh, 2.30 pagi. - Foto tular media sosial

3 penumpang maut tercampak keluar dari bas

MUAR: Tiga penumpang maut, 14 cedera selepas bas ekspres dinaiki bergesel dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 138 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Pagoh, 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata dua mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai, Lim Siew Kee, 61, dan Lai Moon Ching, 25, manakala seorang lelaki Cina yang dianggarkan berusia 40an belum dikenal pasti.

Katanya, ketika kejadian bas berkenaan membawa 25 penumpang selain dua pemandu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura.

“Ketika sampai di Kilometer 138 arah selatan, tiba-tiba bas yang berada di lorong kanan bergesel dan merempuh kanan badan treler hingga menyebabkan separuh bahagian sebelah kiri bas rosak teruk.

“Akibat kemalangan itu, tiga penumpang bas tercampak keluar dan seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan di zon kuning.

“Seorang mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat manakala dua lagi dihantar ke HPSF,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu pertama bas berkenaan dikenali sebagai Zamris Abdul Aziz, 54, hanya cedera manakala pemandu kedua dikenali sebagai Aziz Jaafar Arifin, 55, dan pemandu treler, V Rubanthiran, 28, tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Berita Harian X