Khamis, 6 September 2018 | 6:06pm
Lai Wei Lun, Goh Boon Kheng dan Wong Chee Seng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuantan, hari ini atas tiga pertuduhan mengugut dan mengganggu peminjam dan serta ahli keluarga mereka di tiga lokasi di sini, bulan lalu. - Foto BERNAMA
Lai Wei Lun, Goh Boon Kheng dan Wong Chee Seng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuantan, hari ini atas tiga pertuduhan mengugut dan mengganggu peminjam dan serta ahli keluarga mereka di tiga lokasi di sini, bulan lalu. - Foto BERNAMA

3 pekerja ah long didakwa ugut peminjam

KUANTAN: Tiga pekerja syarikat pemberi pinjaman wang tidak berlesen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengugut dan mengganggu peminjam dan serta ahli keluarga mereka di tiga lokasi di sini, bulan lalu.

Lai Wei Lun, 23, Goh Boon Kheng, 24, dan Wong Chee Seng, 24, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Naim Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiganya didakwa mengganggu tiga mangsa berumur antara 24 hingga 48 tahun di tiga lokasi berasingan iaitu Taman Kempadang Makmur, Jalan Sri Kemunting dan Jalan Air Putih.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di antara 23 sehingga 28 Ogos, mengikut kertas pertuduhan ketiga-tiganya didakwa mengganggu mangsa dengan mengunci pagar kediaman, membuat panggilan berbaur ugutan dan membaling cat merah serta hijau.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan sebatan jika dilakukan buat kali kedua.

Sementara itu, Muhammad Hakimie Ali dari Yayasan Bantuan Guaman yang mewakili ketiga-tiga tertuduh meminta mahkamah menetapkan ikat jamin yang rendah kerana ketiga-tiga yang masih bujang tidak bekerja sejak ditahan pada 30 Ogos lalu.

Nurul Naim menetapkan ikat jamin RM22,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang ikat jamin dan menetapkan 11 Oktober depan bagi sebutan semula.

Di Mahkamah Majistret di sini yang berbeza, Wei Lun yang berasal dari Klang, Selangor dan Chee Seng dari Kuching, Sarawak mengaku tidak bersalah atas tuduhan membantu mengedarkan kad pinjaman wang mengelirukan untuk mendorong individu membuat pinjaman.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Indera Mahkota pada jam 9.30 malam, 30 Ogos dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Majistret Nor Azizah Aling menetapkan RM5,000 untuk ikat jamin dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.

Pegawai Pendakwa, Inspektor P Prabu mewakili pendakwaan bagi kesemua pertuduhan di dua mahkamah berkenaan.

Sementara itu, Boon Kheng dari Seremban, Negeri Sembilan turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyediakan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen kepada tiga peminjam di antara Jun sehingga Ogos lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan wang tunai berjumlah RM980 sehingga RM3,000 kepada mangsa dengan mengenakan kadar faedah dari 20 hingga 30 peratus setiap minggu atau dua minggu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar menawarkan ikat jamin RM90,000 dan meminta mahkamah mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa, Hakim Dazuki Ali menetapkan ikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin.

Berita Harian X