Selasa, 4 September 2018 | 3:29pm
KEADAAN kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh Siah Boon Hong selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 84, Jalan Batu Pahat – Mersing kira-kira jam 9.30 malam tadi. - Foto ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh Siah Boon Hong selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 84, Jalan Batu Pahat – Mersing kira-kira jam 9.30 malam tadi. - Foto ihsan PDRM

2 maut nahas berasingan

KLUANG: Seorang wanita dan lelaki maut dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 61.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Kilometer 84, Jalan Batu Pahat-Mersing, malam tadi.

Ketua Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Asisten Superintendan Azmi Suratman, berkata kedua-dua nahas berlaku kira-kira jam 9.30 malam.

Katanya, Noraqilah Samsuri, 25, maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan, ketika dalam perjalanan dari arah Johor Bharu ke Negeri Sembilan.

“Mangsa yang parah di beberapa anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Kilometer 61.1, kira-kira jam 9.30 malam,” katanya di sini, hari ini.

Azmi berkata, dalam kejadian lain, Siah Boon Hong, 24, meninggal dunia, selepas dia yang memandu kenderaan pacuan empat roda dari arah bandar menuju ke pekan Kahang itu bertembung dengan PROTON Saga di Kilometer 84, Jalan Batu Pahat-Mersing.

Katanya, pemandu PROTON Saga, Abd Aziz Md Noor, 57, dilaporkan cedera dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Beliau berkata, kedua-dua nahas disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X