Khamis, 30 Ogos 2018 | 9:59am
KETUA Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek.
KETUA Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek.

Geng 'Enam Jahanam' tumpas

KUCHING: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Jika sebelum ini geng ‘Enam Jahanam’ dipercayai aktif dalam samun kedai runcit di sekitar daerah ini sejak sebulan lalu.

Namun kegiatan enam sahabat berusia 18 hingga 25 tahun itu berakhir selepas mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di beberapa lokasi sekitar bandar ini.

Menurutnya, mereka dipercayai terbabit dengan kegiatan samun kedai runcit di Satok dan Jalan Matang baru-baru ini.

Beliau berkata, enam sahabat berkenaan menyasarkan kedai runcit 24 jam dan melakukan jenayah pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Suspek akan menyerbu kedai runcit dengan memakai topi keledar berpenutup penuh sebelum mengacukan pisau kepada juruwang.

"Wang tunai dan barangan berharga menjadi sasaran suspek sebelum melarikan diri menggunakan motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, di sini, hari ini.

Ah Lek berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada lagi baki suspek yang ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuching menjalankan Ops Samseng bermula 1 Ogos hingga 20 Ogos lalu.

Katanya, sepanjang operasi itu, sebanyak 36 operasi dijalankan dengan 1,110 kenderaan diperiksa.

"Operasi trafik akan terus dijalankan secara konsisten bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang selain mengurangkan masalah samseng jalanan," katanya.

Berita Harian X