Rabu, 29 Ogos 2018 | 1:59pm

Wanita didakwa perdaya minta komisen kedai, RMMJ

JOHOR BAHRU: Seorang ahli perniagaan wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas lima pertuduhan memperdaya dua mangsa dengan meminta wang komisen bagi mendapatkan kedai dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) antara Mei hingga Julai, dua tahun lalu.

Tertuduh, Umi Kalsom Jaafar@Jaffery, 42, bagaimanapun tidak mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga empat, Umi Kalsom didakwa memperdaya seorang wanita dengan menawarkan Kedai Mampu Milik Johor sehingga mangsa memasukkan wang dan menyerahkan cek berjumlah RM60,000 sebagai wang komisen di lokasi berbeza sekitar Iskandar Puteri antara 24 Mei hingga 19 Jun tahun 2016.

Tertuduh turut didakwa memperdaya seorang lelaki dengan menawarkan RMMJ sehingga mangsa menyerahkan cek bernilai RM6,000 sebagai wang komisen di sebuah kopitiam di Iskandar Puteri pada 15 Julai tahun yang sama.

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh berjanji akan mendapatkan kedai serta rumah berkenaan, tetapi tidak mendapatkannya seperti yang dijanjikan.

Bagi semua lima pertuduhan, Umi Kalsom didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Isa Mohamad Basir.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 25 September ini bagi tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X