Jumaat, 24 Ogos 2018 | 9:19am
SEORANG lagi mangsa kemalangan di Kilometer 31 Jalan Gua Musang-Kuala Krai meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) petang semalam. - Foto Ramli Ibrahim
SEORANG lagi mangsa kemalangan di Kilometer 31 Jalan Gua Musang-Kuala Krai meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) petang semalam. - Foto Ramli Ibrahim

Seorang lagi mangsa nahas meninggal dunia

GUA MUSANG: Seorang lagi mangsa kemalangan di Kilometer 31 Jalan Gua Musang-Kuala Krai meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, Muhammad Faiziel Mohammad Rusdi, 27, pemandu kereta Perodua Myvi meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang.

Menurut Mohd Taufik, mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan semasa menerima rawatan di HKK.

Katanya sebelum itu mangsa mendapat rawatan awal di Hospital Gua Musang (HGM) sebelum dihantar ke HKK.

"Akibat kecederaan parah di kepala dan badan, mangsa dipindahkan dari HGM ke HKK tetapi meninggal dunia petang semalam," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi itu, ibu dan adik mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar daripada kereta yang terbabas sebelum terhumban ke dalam cerun.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Maslan Hassan, 55 dan anak perempuannya, Nur Fashiera, 25, manakala seorang adiknya, Nur Farrah Ezlyn, 22, patah tangan kanan.

Empat beranak itu dalam perjalanan dari Damansara Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Aidiladha di Kampung Rekang Hilir, Bachok apabila Mohamad Rusdi dikatakan hilang kawalan mengakibatkan kenderaan itu terhumban ke dalam cerun.

Berita Harian X