Isnin, 20 Ogos 2018 | 9:59am
MAYAT mendiang Ganesh Munisamy, dibawa anggota polis ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. - Foto Rosli Ilham
MAYAT mendiang Ganesh Munisamy, dibawa anggota polis ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. - Foto Rosli Ilham

Maut tangan tersepit di pedati conveyor

DUNGUN : Seorang lelaki maut selepas tangan kirinya putus akibat tersepit di besi pedati ketika sedang mengendalikan sebuah 'conveyor' di kawasan lombong bijih besi di Bukit Besi, dekat sini, malam tadi.

Ganesh Munisamy, 54, yang putus tangan hingga ke bahu itu meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam, mangsa dikatakan sedang mengawasi pergerakan conveyor yang mengasingkan bijih besi.

Mangsa dipercayai cuba membuang bijih besi yang tersangkut pada pedati terbabit sebelum tangannya digilis hingga putus.

Jeritan kuat disedari rakan setugas yang bertindak membantu mangsa sebelum mengejarkan mangsa dan tangannya yang putus itu ke Klinik Kesihatan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa disahkan meninggal sejurus tiba di Klinik terbabit sebelum mayat mendiang dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X