X
Ahad, 19 Ogos 2018 | 3:19pm
SHARUL Othman Mansor pada sidang media Ops Samseng di Balai Polis Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
SHARUL Othman Mansor pada sidang media Ops Samseng di Balai Polis Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

626 tangkapan samseng jalanan

SEREMBAN: Op Samseng Jalanan yang dijalankan mulai 1 Ogos lalu di seluruh negara menyaksikan sebanyak 626 tangkapan dibuat sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Sharul Othman Mansor, berkata daripada jumlah itu, 194 adalah remaja termasuk 146 pelajar tingkatan tiga hingga lima.

Katanya, sepanjang tempoh itu sebanyak 1, 775 kereta dan 1,648 motosikal disita kerana mengubahsuai enjin kenderaan yang dipercayai untuk kegiatan lumba haram.

“Tangkapan paling ramai adalah 335 individu di Kuala Lumpur diikuti Pulau Pinang, 115 orang.

 SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan pihak polis pada Operasi Khas Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan pihak polis pada Operasi Khas Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

“Sebanyak 37, 282 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis serius membanteras kegiatan samseng jalanan dan mengesan penganjur atau penaja perlumbaan haram mengikut Seksyen 81 akta yang sama,” katanya pada sidang media di Balai Polis Senawang, di sini, ketika mengetuai Op Samseng Jalanan di Seremban, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Beliau berkata, punca pembabitan remaja dalam kegiatan samseng jalanan adalah kurang kefahaman terhadap penguatkuasaan undang-undang, mempunyai keluarga bermasalah seperti perceraian, pengaruh rakan, tidak bersekolah dan perasaan ingin mencuba.

“Malah samseng jalanan turut dikaitkan dengan gejala dadah apabila seramai 53 individu yang ditahan sepanjang tempoh itu didapati postif dadah,” katanya.

Shahrul berkata, gejala samseng jalanan bagaikan tidak bernoktah dan menuntut pembabitan serius semua pihak untuk menanganinya kerana aktiviti itu bukan sahaja berbahaya kepada pelaku, malah juga kepada orang awam.

Beliau menjelaskan, bagi jangka panjang pihaknya akan bertemu Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, institut pengajian tinggi dan pihak swasta untuk pencegahan.

“Polis akan menjadikan enam kilang di Bangi, Selangor sebagai kilang angkat dan menganjurkan forum mengenai bahaya budaya rempit,” katanya berazam menurunkan kadar samseng jalanan sebanyak 80 peratus.

Berita Harian X