Ahad, 19 Ogos 2018 | 7:57am

2 mat rempit diburu polis

SEREMBAN: Polis memburu dua lagi penunggang motosikal yang dipercayai terbabit dalam lumba haram di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin yang mengakibatkan kematian.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Sharul Othman Mansor, berkata dua penunggang motosikal itu amat dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam pertaruhan hingga menyebabkan rakan mereka, Norazrin Azizan Abdul Aziz, 26, maut manakala pejalan kaki, Mohd Azhan Baharudin parah.

"Kedua-dua penunggang ini dikehendaki polis bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Buat masa ini polis sudah merakam percakapan beberapa penonton berhubung kejadian," katanya pada sidang media di Balai Polis Senawang, di sini, ketika mengetuai Operasi Samseng Jalanan di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Sharul Othman berkata, pihaknya juga sedang mengesan penganjur perlumbaan dan siasatan awal mendapati ia membabitkan pertaruhan.

Portal berita akhbar ini semalam melaporkan penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Salor Baru meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian ketika menerima rawatan jam 4.55 pagi akibat pendarahan otak.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi kelmarin, Norazrin Azizan yang berasal dari Cherang Ruku, Semerak menunggang motosikal Yamaha 125Z, dipercayai hilang kawalan lalu merempuh Mohd Azhan yang cuba melintas jalan.

Akibat kejadian, Mohd Azhan putus kaki kira dan patah kedua-dua belah tangannya.

Video kemalangan itu kemudian tular di media sosial dan kedua-dua mangsa yang parah dibawa ke HUSM oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan pihak polis pada Operasi Khas Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan pihak polis pada Operasi Khas Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X