X
Khamis, 16 Ogos 2018 | 6:29pm
MOTOSIKAL yang dipercayai dinaiki mangsa bersama suami.
MOTOSIKAL yang dipercayai dinaiki mangsa bersama suami.

Wanita maut terkena tayar lori tercabut

BUTTERWORTH: Seorang wanita maut apabila terkena tayar lori kontena yang tercabut ketika membonceng motosikal suaminya di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) kira-kira 80 meter dari Plaza Tol Sungai Nyior arah Butterworth, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 9.15 malam itu, kedua-dua motosikal ditunggang S Karbagan, 49, bersama suami, M Thinagaran, 52, dan lori terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Seberang Jaya menghala ke Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata setiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan dikatakan tercabut sebelum terkena pembonceng motosikal terbabit.

Ketika kejadian, beliau berkata, motosikal ditunggang mangsa sedang bergerak di tepi kiri jalan dan tidak sempat mengelak.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa terjatuh ke atas jalan raya.

“Pembonceng motosikal yang parah di bahagian kepala dilaporkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSJ untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi polis atau tampil di balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Berita Harian X