Khamis, 16 Ogos 2018 | 3:31pm
ANAK mangsa pasangan suami isteri yang ditemui mati dalam rumah di FELDA Tenggaroh 3, Mersing. Zainuddin Mohamad 45. - Foto Mohd Sah Muda
ANAK mangsa pasangan suami isteri yang ditemui mati dalam rumah di FELDA Tenggaroh 3, Mersing. Zainuddin Mohamad 45. - Foto Mohd Sah Muda
ANGGOTA polis membuat siasatan selepas menerima aduan penemuan mayat seorang lelaki dan wanita ditemui dalam sebuah rumah di Felda Tenggaroh 3, Mersing.
ANGGOTA polis membuat siasatan selepas menerima aduan penemuan mayat seorang lelaki dan wanita ditemui dalam sebuah rumah di Felda Tenggaroh 3, Mersing.

TERKINI: 'Ibu hidap angin ahmar, bapa tiri sakit semput'

MERSING: “Ibu menghidap angin ahmar sejak 12 tahun lalu, manakala bapa tiri pula sakit semput dari tahun lalu. Namun, saya tidak menyangka mereka akan meninggal dunia bersama-sama di rumah.”

Zainuddin Mohamad, 45, terkejut dengan penemuan mayat ibunya, Nilam Ibrahim, 70, dan bapa tiri, A Wahab Yusof, 72, di rumah mereka di FELDA Tenggaroh 3, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sebelum ini, pasangan warga emas itu tinggal dengan kakaknya, Zaimah Mohamad, 50, di Mersing Kanan, sejak kira-kira enam bulan lalu.

Bagaimanapun pada bulan lalu, katanya, ibu dan bapa tiri pulang semula ke FELDA Tenggaroh 3 kerana mahu menjaga kebun, tambahan pula musim buah ketika ini.

“Ibu dan bapa tiri sering menghabiskan masa di rumah kakak di Mersing Kanan, malah baru tidak sampai sebulan mereka balik ke FELDA Tenggaroh 3 serta tinggal berdua.

“Kami sekeluarga tidak menyangka mereka pergi bersama untuk selama-lamanya, namun reda,” katanya ketika ditemui NSTP di pekarangan Unit Forensik, Hospital Mersing, hari ini.

Zainuddin berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan pasangan itu kira-kira 10 hari lalu tetapi sering menghubungi untuk bertanya khabar.

“Biasanya, selepas banyak kali saya menghubungi baru panggilan dijawab. Banyak kali ‘missed call’. Beberapa hari lalu, saya juga ada menghubungi tetapi tidak dijawab.

“Bagaimanapun, saya tidak mengesyaki apa-apa kerana sudah biasa ‘missed call’,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak menyangka sikap pelik ibu tiba-tiba meminta wang RM1 ketika kali terakhir bertemu menjadi petanda sebelum meninggal dunia.

“Sebelum ini, saya memang memberikan wang kepada ibu. RM1 itu menjadi permintaan terakhir arwah,” katanya.

Zainuddin berkata, beliau ada empat beradik kandung, manakala hasil perkahwinan ibu dengan bapa tirinya dikurniakan dua anak.

Terdahulu, mayat pasangan warga emas itu ditemui dalam keadaan membusuk di sebuah rumah di FELDA Tenggaroh 3, malam tadi.

Setakat ini, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 11.05 malam yang memaklumkan ada bau busuk yang kuat dari sebuah rumah di Jalan Kenari di kawasan terbabit.

“Polis tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11.50 malam serta memecah masuk rumah terbabit sebelum menjumpai dua mayat lelaki dan wanita dalam keadaan membusuk.

“Ketika ditemui, mayat wanita dalam keadaan berpakaian, berada di atas katil dan mulai membusuk. Mayat lelaki pula dalam keadaan membusuk, mereput dan berair,” katanya.

Katanya, kedua-dua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Mersing, di sini, untuk bedah siasat mengenal pasti punca sebenar kematian.

Berita Harian X