Ahad, 12 Ogos 2018 | 10:03am

Suami isteri leka tonton lumba haram dicekup

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri yang leka menghabiskan malam minggu dengan menonton perlumbaan haram di Lebuhraya Persekutuan di sini, antara ratusan yang dicekup polis dalam Ops Samseng Jalanan, awal pagi tadi.

Pasangan berusia 22 tahun yang baru berkahwin hujung tahun lalu itu mendakwa hanya mahu bersiar-siar dengan menunggang motosikal tanpa ada lokasi tertentu yang ingin dituju.

Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, isteri lelaki berkenaan mendakwa menuruti kemahuan suaminya yang mahu menyaksikan kemeriahan perlumbaan di litar haram terbabit.

"Kami datang dari Seksyen 7 dan tidak tahu lokasi mana yang mahu dituju pergi, lalu datang tengok orang berlumba di lebuhraya ini.

"Walaupun tidak berlumba, kami menyesal kerana turut ditahan polis untuk pemeriksaan lanjut," katanya kepada wartawan NSTP.

Tinjauan mendapati lokasi di Batu Tiga hingga ke Padang Jawa itu sentiasa 'bingit' dengan deruman ekzos motosikal mat rempit yang bergadai nyawa semata-mata mempamerkan kehebatan jentera masing-masing terutama pada malam minggu.

Tidak kurang juga mereka yang sanggup membuang masa kerana menjadi penonton perlumbaan haram itu di bahu jalan dan kawasan parkir stesen minyak di lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, ratusan mat rempit terpinga-pinga selepas laluan lebuh raya itu dikepung dan ditutup polis di kedua-dua arah menyebabkan mereka tiada ruang lain untuk meloloskan diri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, operasi berkenaan disertai seramai 16 pegawai dan 63 anggota polis.

Katanya, hasil Ops Samseng Jalanan bermula jam 11 malam itu berjaya menahan sebanyak 103 motosikal dan 13 daripadanya dipercayai terbabit dengan kegiatan lumba haram.

"Seramai 105 individu ditahan untuk diperiksa dalam operasi yang turut disertai JSPT Bukit Aman.

"Kesalahan paling banyak direkodkan antaranya menunggang tanpa lesen dan motosikal tidak mengikuti spesifikasi dibenarkan," katanya.

Azman berkata, sebanyak 52 saman dikeluarkan pihaknya dan 36 motosikal disita bagi tindakan lanjut.

ANTARA ratusan mat rempit yang terbabit dengan kegiatan lumba haram dicekup polis dalam Ops Samseng Jalanan awal pagi tadi di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
ANTARA ratusan mat rempit yang terbabit dengan kegiatan lumba haram dicekup polis dalam Ops Samseng Jalanan awal pagi tadi di Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X