Khamis, 9 Ogos 2018 | 10:22pm
MOHD Azrai dan isteri, Noor Adzlina menunjukkan gambar anak mereka, Aazad Ammar Mohd Azrai yang maut digilis ketika melintas di hadapan van sekolah di Jalan BS 10/5, Taman Bukit Serdang, kelmarin. - Foto NSTP
MOHD Azrai dan isteri, Noor Adzlina menunjukkan gambar anak mereka, Aazad Ammar Mohd Azrai yang maut digilis ketika melintas di hadapan van sekolah di Jalan BS 10/5, Taman Bukit Serdang, kelmarin. - Foto NSTP

TERKINI: Keadaan titik buta dipercayai punca murid digilis van sekolah

SERDANG: Keadaan titik buta (blind spot) dipercayai menjadi punca seorang murid lelaki berusia lapan tahun maut digilis ketika melintas di hadapan van sekolah di Jalan BS 10/5, Taman Bukit Serdang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Aazad Ammar Mohd Azrai baru turun dari van itu tetapi pemandunya yang berusia 49 tahun dikatakan tidak perasan mangsa berjalan di sisi kiri untuk ke hadapan kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata pemandu van terbabit mendakwa tidak nampak kanak-kanak itu sebelum melanggar dan menggilisnya.

“Siasatan awal mendapati van sekolah itu berhenti berhampiran laluan ke pintu masuk utama taman perumahan Green View Park, Taman Bukit Serdang, untuk menurunkan mangsa.

“Namun, ketika kanak-kanak itu melintas di hadapan van berkenaan untuk ke sebelah kanan, pemandu mendakwa ia dalam keadaan ‘blind spot’ dan tidak nampak mangsa berada di hadapan lalu terus melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Serdang dengan ambulans.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu, kira-kira jam 7.30 malam pada hari sama.

“Ada saksi yang nampak kemalangan itu dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pemandu terbabit sudah diambil keterangan, manakala kenderaannya disita,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Azrai Abd Rahman, pula berkata ketika kejadian, beliau baru pulang dari kerja dan kebetulan berada di dalam kereta di anjung rumah.

Katanya, beliau terkejut apabila pengawal keselamatan berlari memanggilnya sambil menunjukkan tangan ke arah jalan.

Mohd Azrai kemudian terus berlari ke arah jalan utama sebelum nampak beg sekolah Aazad Ammar dan menyedari anaknya itu dilanggar van sekolah.

“Saya berlari ke arahnya, memangku tubuh serta hanya mampu memanggil Ammar… Ammar… beberapa kali, namun dia tidak bergerak dan mata terus tertutup.

“Mulutnya pula sedikit tercungap-cungap seperti susah bernafas sehinggalah ambulans tiba kira-kira 15 minit kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mereka di Taman Bukit Serdang, di sini, hari ini.

Berita Harian X