Sabtu, 4 Ogos 2018 | 7:23pm
SAKSI kejadian kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini awal pagi tadi.
SAKSI kejadian kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini awal pagi tadi.

Saksi kemalangan maut penunggang motosikal dicari

PETALING JAYA: Saksi kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta di Jalan Lapangan Terbang Subang arah Sungai Buloh di sini, awal pagi tadi dicari bagi membantu siasatan.

Dalam kemalangan jam 5.17 pagi itu, mangsa, Ismail Ibrahim, 23, berasal dari Sekinchan, Selangor maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan lain selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, mangsa yang menunggang Yamaha 135LC dipercayai terbabas ke lorong kanan selepas cuba mengelak sebuah kenderaan lain di hadapannya

"Sebuah kereta jenis Volkswagen Scirocco R dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun yang kebetulan berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa yang menunggang motosikal bersendirian itu.

"Bagaimanapun kita tidak dapat mengenal pasti jenis dan nombor pendaftaran kenderaan yang cuba dielak mangsa, justeru kita minta orang ramai yang nampak kejadian itu untuk tampil membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, saksi yang melihat kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Nazreen Nasharuddin di talian 010-2105101 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk bedah siasat dan siasatan kemalangan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X