Selasa, 24 Julai 2018 | 4:10pm
MOHD Suffian (kiri) menunjukkan barang rampasan alat ganti motosikal yang disyaki palsu bernilai hampir RM73,000 pada sidang media di Stor Simpanan KPDNHEP, Lorong Perindustrian Bukit Minyak 2, Simpang Empat, Bukit Mertajam. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
MOHD Suffian (kiri) menunjukkan barang rampasan alat ganti motosikal yang disyaki palsu bernilai hampir RM73,000 pada sidang media di Stor Simpanan KPDNHEP, Lorong Perindustrian Bukit Minyak 2, Simpang Empat, Bukit Mertajam. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Taktik premis jual alat ganti asli kantoi

BUKIT MERTAJAM: Taktik sebuah kedai yang berselindung dengan menjual alat ganti motosikal asli untuk mengaburi mata penguatkuasa gagal apabila premis itu diserbu semalam.

Serbuan jam 1.25 tengah hari itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daerah Seberang Perai Tengah hasil risikan selepas memperoleh aduan daripada pemilik cap dagangan sebuah jenama popular di negara ini.

Ketua Cawangan KPDNHEP SPT, Mohd Suffian Mohd Abass, berkata ketika serbuan seorang penyelia bersama 10 hingga 2 pekerja berada di premis itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas premis yang dipercayai sudah beroperasi lebih 10 tahun itu menemui sejumlah 5,153 alat ganti motosikal tiruan.

"Premis berkenaan menjalankan perniagaan runcit menjual alat ganti motosikal yang juga turut menjadi pengedar kepada kedai membaiki dan menjual alat ganti motosikal di sekitar daerah ini.

"Kesemua alat ganti yang bernilai hampir RM73,000 itu dirampas untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di stor penyimpanan milik agensi itu, di sini, hari ini.

Mohd Suffian berkata, pihaknya memandang serius mengenai penjualan alat ganti tiruan kerana ia membabitkan aspek keselamatan pengguna.

"Walaupun harga alat ganti tiruan jauh lebih murah iaitu kira-kira 50 peratus daripada harga alat ganti asli, tetapi ia tetap bahaya.

"Saya menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati ketika membaiki kenderaan mereka.

"Apatah lagi, premis menjual alat ganti kini juga pandai memanipulasi pengguna apabila menjual barangan alat ganti asli di kedai mereka menyebabkan mereka terpedaya," katanya.

Katanya, sehingga bulan ini, terdapat 25 kes berkaitan barang tiruan seperti aksesori telefon bimbit, pakaian, jersi, beg tangan dan pelbagai barangan kulit bernilai RM166,839 dirampas.

"Kesemua kes berkaitan perihal dagangan palsu disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Berita Harian X