Isnin, 23 Julai 2018 | 9:29pm

Dua lelaki ditahan berkaitan pembunuhan warga Bangladesh

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditemui mati dengan tangan dan kakinya diikat di sebuah unit kediaman di Cova Villa, Kota Damansara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata kedua-dua suspek warga Bangladesh berusia 20-an ditahan di sebuah lokasi di Kota Damansara malam tadi.

"Bagaimanapun kita yakin suspek utama masih bebas dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan untuk mengenal pasti siapa dalang utama dan motif pembunuhan.

"Kedua-dua lelaki yang ditahan itu bukan rakan serumah mangsa namun kita yakin dapat membantu kita dalam siasatan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, mayat mangsa yang dikenali sebagai Nazrun, itu ditemui oleh seorang rakan senegaranya ketika dia menghantar beras dan ubi yang dikirim mangsa ke kediaman berkenaan, kira-kira jam 9 malam kelmarin dan hanya melaporkan kejadian itu kepada polis tengahari, semalam.

"Rakan mangsa mendapati rumah itu kosong dan bilik mangsa berkunci.

"Curiga dengan keadaan itu, rakan mangsa bertindak memecahkan pintu bilik mangsa dan menemui Nazrun tertiarap dengan kedua-dua tangan berikat di bahagian belakang serta dua kakinya diikat dan mukanya ditutup kain," kata Mohd Zani.

Difahamkan, Nazrun baru dua hari menyewa di unit kediaman terbabit dengan lapan individu lain yang juga warga negara asing namun ketika kejadian, semua rakan serumahnya sudah melarikan diri.

"Siasatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

"Pemeriksaan turut menemui kesan jerut pada leher serta kecederaan pada kening sebelah kiri mangsa," kata Mohd Zani lagi.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Berita Harian X