Sabtu, 21 Julai 2018 | 2:42pm
PACUAN Empat Roda bersama hampir setengah tan daun ketum yang dirampas oleh AKSEM Padang Besar. - Foto Ihsan Aksem
PACUAN Empat Roda bersama hampir setengah tan daun ketum yang dirampas oleh AKSEM Padang Besar. - Foto Ihsan Aksem

Ditahan bersama setengah tan ketum

PADANG BESAR: Tindakan seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) di kawasan sempadan dalam keadaan mencurigakan terbongkar selepas dia ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi berdekatan sempadan Malaysia-Thailand itu, anggota AKSEM berjaya menemui kira-kira 500 kilogram (kg) daun ketum cuba diseludup ke negara jiran.

Jurucakap AKSEM Perlis berkata, suspek ditahan anggotanya selepas kenderaan 4WD itu cuba melalui kawasan sempadan yang dikawal ketat.

"Pihak AKSEM melakukan rondaan rutin di sebuah kampung berikutan mendapat aduan penduduk yang sering melihat kenderaan bernombor pendaftaran asing keluar masuk dari kawasan kampung berkenaan.

"Ketika melakukan rondaan, kita terserempak sebuah 4WD dipandu suspek di kawasan yang dikategorikan sebagai 'panas' dan terdedah kepada kegiatan penyeludupan.

"Pihak kami kemudian bertindak menahannya untuk melakukan pemeriksaan memandangkan tindak-tanduknya begitu mencurigakan ketika terserempak dengan kami," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

PACUAN Empat Roda bersama hampir setengah tan daun ketum yang dirampas oleh AKSEM Padang Besar. - Foto Ihsan Aksem
PACUAN Empat Roda bersama hampir setengah tan daun ketum yang dirampas oleh AKSEM Padang Besar. - Foto Ihsan Aksem

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terperinci ke atas kenderaan terbabit menemui hampir setengah tan daun ketum yang disimpan dalam beberapa bungkusan plastik hitam di bahagian penumpang dan simpanan kenderaan itu.

"Pihak AKSEM menahan lelaki terbabit dan membawa pikap bersama daun ketum ke kompleks AKSEM Padang Besar.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kes terbabit diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X