Ahad, 15 Julai 2018 | 8:45pm
TRELER yang terbabit dalam kemalangan tujuh kenderaan yang meragut empat nyawa di Kilometer 445 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Rawang.
TRELER yang terbabit dalam kemalangan tujuh kenderaan yang meragut empat nyawa di Kilometer 445 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Rawang.

Sampel air kencing, darah pemandu treler diambil

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan pemandu treler terbabit dalam kemalangan tujuh kenderaan semalam yang meragut empat nyawa di Kilometer 445 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata pihaknya juga sudah mengambil sampel air kencing dan darah pemandu berusia 45 tahun itu, namun tiada tangkapan dibuat terhadapnya.

"Kami masih melakukan siasatan berhubung kemalangan itu, termasuk mengenal pasti punca kejadian dan menunggu laporan keputusan sampel urin serta darah pemandu terbabit," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kemalangan pada jam 12 tengah hari semalam membabitkan sebuah treler tanpa muatan, bas ekspres, Toyota Vellfire, Perodua Alza, BMW, Nissan Almera dan Perodua Myvi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata penumpang Toyota Vellfire, Ezzudin Noorakhirludin Alam, 10, dan pemandu treler terbabit masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, polis sudah menyerahkan jenazah Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48; Nur Fitrah Rosman, 24; Nurbaya Mohd Zaki, 24; dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24, yang maut di lokasi kejadian, kepada ahli keluarga mereka kira-kira jam 2 pagi tadi bagi urusan pengebumian.

Beliau berkata, kemalangan itu berlaku apabila treler berkenaan yang menghala ke utara, dipercayai merempuh Perodua Myvi dan melanggar Nissan Almera.

"Akibat perlanggaran itu, treler terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebuah bas ekspres.

"Perodua Alza, Toyota Vellfire dan BMW yang berada di laluan dari arah utara menghala ke Kuala Lumpur, dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar treler berkenaan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Rohaizad Hashim melalui talian 012-292 4420," katanya.

Berita Harian X