Ahad, 15 Julai 2018 | 1:51pm
FARAH sebak mengimbau pesanan bapanya yang terkorban dalam nahas ngeri di Kilometer 445 PLUS berdekatan persimpangan Rawang Selatan, semalam. - Foto ihsan pembaca
FARAH sebak mengimbau pesanan bapanya yang terkorban dalam nahas ngeri di Kilometer 445 PLUS berdekatan persimpangan Rawang Selatan, semalam. - Foto ihsan pembaca

'Tolong jaga mak dan adik elok-elok'

BUKIT MERTAJAM: "Sebelum ini, ayah beberapa kali pesan jika beliau 'tiada' suatu hari nanti, tolong jaga mak dan adik elok-elok, menyebabkan saya tidak sedap hati. Akhirnya, ia terjawab dengan pemergian ayah akibat kemalangan tragik ini."

Farah Noorakhirludin Alam, 17, sebak mengimbau pesanan bapanya, Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48, seorang daripada empat mangsa terkorban dalam nahas ngeri membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 445 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan persimpangan Rawang Selatan, semalam.

Ketika kejadian, Noorakhirludin Alam bersama isteri, Maskiah Mat Saad, 41, dan anak bongsu mereka dalam perjalanan dari Pulau Pinang untuk melawat anak kedua serta ketiga di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, dan Pusat PERMATA pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Farah yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, kali terakhir dirinya bertemu arwah ialah pada 7 Julai lalu ketika mahu pulang ke asrama sekolah terletak berdekatan kawasan rumah mereka di Kepala Batas, dekat sini.

"Namun, beberapa hari lalu, saya ada menghubungi ayah. Ketika itu, ayah memaklumkan bahawa beliau menghidap penyakit batu karang," katanya.

Kemalangan pada jam 12 tengah hari semalam membabitkan sebuah treler tanpa muatan, bas ekspres, Toyota Vellfire, Perodua Alza, BMW, Nissan Almera dan Perodua Myvi.

Selain Noorakhirludin Alam yang memandu Toyota Vellfire, tiga lagi turut maut di lokasi kejadian ialah Nur Fitrah Rosman, Nurbaya Mohd Zaki dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, semua berusia 24 tahun serta menaiki Perodua Alza terbabit.

Dalam tragedi itu, tiga mangsa lain dilaporkan cedera, termasuk seorang parah, dan semuanya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, dipetik sebagai berkata siasatan awal mendapati treler yang dalam perjalanan ke utara dikatakan melanggar belakang Nissan Almera lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan secara melintang.

Menceritakan lebih lanjut, Farah berkata, sejam sebelum kemalangan itu, beliau baru menghubungi ibunya untuk meminta kebenaran keluar bersama rakan asrama.

Bagaimanapun, katanya, tidak lama kemudian, beliau dihubungi seorang guru memaklumkan keluarganya terbabit dalam kemalangan jalan raya dan bapa saudara akan datang menjemput di asrama.

"Paksu (bapa saudara) datang mengambil saya. Ketika itu, beliau meminta saya bersabar banyak-banyak kerana ayah sudah tiada," katanya.

Jenazah Noorakhirludin Alam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sama Gagah, Permatang Pauh, di sini, awal pagi tadi.

Berita Harian X