Rabu, 11 Julai 2018 | 8:05pm
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi selama tiga hari pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi. - Foto Hamzah Osman
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi selama tiga hari pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi. - Foto Hamzah Osman

7 tokan dadah ditahan

LANGKAWI: Polis menahan tujuh tokan dadah termasuk seorang wanita selain merampas hampir tiga kilogram dadah disyaki heroin dan syabu bernilai RM121,800 dalam operasi yang dijalankan selama tiga hari, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata tujuh tokan dadah terbabit antara 28 individu yang ditahan polis melalui operasi berakhir hari ini.

Beliau berkata, tokan dadah terbabit ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi 'panas' sarang penagihan dadah di daerah ini.

"Rampasan dadah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi ini adalah terbesar dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

"Semua tujuh tokan dadah ditahan itu adalah warga tempatan dan enam daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya pada sidang media di IPD Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,750 dalam serbuan di Kampung Bukit Nau dan Taman Desa Kemboja, Mukim Padang Matsirat di sini.

"Kes membabitkan tokan dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

"Manakala seramai 21 individu lagi turut ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan lain bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama," katanya.

Berita Harian X