Isnin, 2 Julai 2018 | 6:55pm
SUSPEK ditahan polis di sebuah rumah di Taman Kami C, Aulong, Taiping. - Foto ihsan pembaca
SUSPEK ditahan polis di sebuah rumah di Taman Kami C, Aulong, Taiping. - Foto ihsan pembaca

Berdendam kerana isyarat lucah

TAIPING: Angkara dendam, seorang lelaki menetak rakannya dan menjadikan seorang warga emas, yang juga guru perubatan tradisionalnya sebagai tebusan di sebuah rumah di Taman Kami C, Aulong, di sini, awal pagi tadi.

Malah, suspek berusia 33 tahun itu turut cuba membunuh diri dengan mencederakan bahagian belakang kepala dan menusuk dada serta perutnya dengan pisau dan parang selepas membebaskan tebusan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu yang berlaku di sebuah rumah yang dijadikan tokong dan lokasi perubatan tradisional, pada jam 4.06 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat seorang lelaki sedang mengacukan sebilah parang pada leher seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun di dalam bilik utama rumah itu yang berkunci.

Katanya, sebelum polis tiba, seorang lelaki warga Singapura berusia 23 tahun dihantar ke Hospital Taiping berikutan kecederaan teruk akibat ditetak suspek.

Beliau berkata, suspek dipercayai berdendam dengan mangsa berusia 23 tahun itu kerana sebelum ini mereka pernah bertengkar dan warga Singapura itu menunjukkan isyarat lucah kepadanya menyebabkan suspek berdendam sampai sekarang.

"Polis cuba berunding dengan suspek dan memujuknya supaya melepaskan tebusan dan tidak mencederakan warga emas, yang juga pengamal perubatan tradisional itu.

"Tiada tindak balas diterima daripada suspek sehinggalah pada jam 8.30 pagi, suspek melepaskan tebusan tanpa sebarang kecederaan dan kembali mengunci pintu bilik itu dan menahannya dengan almari kayu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kira-kira 10 minit kemudian, polis merempuh pintu bilik terbabit berikutan suspek mula mencederakan diri dengan parang dan pisau di dalam tandas bilik berkenaan.

Katanya, polis kemudian menahan suspek dan siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian disebabkan dendam terhadap warga Singapura itu, selain suspek juga mengalami masalah mental.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 309,326,342 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X