Ahad, 1 Julai 2018 | 6:58pm

Pesara tentera cuba seludup tenggiling ditahan

BUKIT KAYU HITAM: Cubaan pesara tentera menyeludup 65 ekor tenggiling seberat 300 kilogram bernilai RM75,000 ke negara jiran gagal apabila ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) pagi tadi.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah, berkata lelaki berusia 57 tahun itu ditahan ketika sedang melalui sekatan AKSEM di Kilometer 1.1 dari Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta Mercedes dipandu lelaki itu menemui sejumlah guni biru mengandungi tenggiling masih hidup pelbagai saiz.

Katanya, guni berkenaan ditutup dengan lapisan plastik kanvas di ruang tayar simpanan dalam but kereta itu.

"Ketika ditahan, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen dan mengaku membawa tenggiling yang diperoleh dari individu dari kawasan Jitra itu untuk diseludup ke Thailand.

"Terdahulu, lelaki yang menetap di Kuala Nerang itu mendakwa keretanya dipandu individu lain ke satu kawasan untuk mengisi guni yang mengandungi tenggiling berkenaan sebelum menyerahkan semula kepadanya untuk dibawa ke Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, lelaki itu mendakwa memperoleh upah RM1,800 iaitu RM6 setiap kilogram tenggiling yang dibawa.

"Berdasarkan siasatan, kita percaya suspek sebelum ini pernah melakukan kegiatan berkenaan, namun ini kali pertama dia ditahan pihak berkuasa.

"Berdasarkan pemeriksaan pada badan haiwan berkenaan, kita percaya semuanya sudah ditempah oleh individu berlainan di negara jiran berikutan cat yang ditanda pada badan haiwan terbabit.

"Kita percaya tenggiling terbabit mendapat permintaan untuk dijadikan makanan eksotik, manakala sisiknya akan dijadikan bahan perubatan yang mampu mencecah harga RM20,000 sekilo," katanya.

Mohd Khairi berkata, keseluruhan rampasan adalah dianggarkan bernilai RM95,000 termasuk tenggiling dan kereta milik suspek terbabit yang dianggarkan bernilai RM20,000.

"Semua tenggiling, suspek dan kereta terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

"Dia akan didakwa kerana melakukan lima kesalahan di bawah Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), manakala haiwan ini akan dilepaskan ke habitat asal kerana ia adalah haiwan yang dilindungi dan diancam kepupusan," katanya.

ASP Mohd Khairi Abdullah (kanan) dan anggotanya menunjukkan guni biru yang berisi tenggiling bernilai RM75,000 yang dirampas dalam sebuah kereta Mercedes 230 yang dipandu pesara tentera yang ditahan di sekatan Kilometer 1.1 dari Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand. - Foto Zuliaty Zulkiffli
ASP Mohd Khairi Abdullah (kanan) dan anggotanya menunjukkan guni biru yang berisi tenggiling bernilai RM75,000 yang dirampas dalam sebuah kereta Mercedes 230 yang dipandu pesara tentera yang ditahan di sekatan Kilometer 1.1 dari Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X