Rabu, 27 Jun 2018 | 6:59pm

Dua lelaki ugut bunuh, bakar rumah mohon dibicara

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan mengugut untuk memukul, membakar rumah dan membunuh keluarga seorang penuntut universiti awam.

Tertuduh, Aman Shah Said Anib, 31, dan Muhamad Roslan, 45, masing-masing mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, Aman Shah didakwa mengugut mahu membakar rumah, memecahkan kereta dan membunuh keluarga Amirul Anwar Husin, 20, dengan niat menimbulkan rasa takut di sebuah rumah di Jalan Sungai Rengas Padang Sena, di sini, jam 3.30 pagi, 18 Jun lalu.

Muhamad pula didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu memukul mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala dua tertuduh diwakili peguam, Horley Isaacs.

Mahkamah menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar diikat jamin RM3,000 seorang.

Difahamkan, dalam kejadian itu, dua tertuduh ke rumah mangsa untuk mencari seorang ahli keluarganya, namun berlaku perselisihan faham sebelum mereka bertindak mengeluarkan ugutan.

Tertuduh, Aman Shah Said Anib,31, (depan) dan Muhamad Roslan, 45, (belakang) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap penuntut universiti awam. - Foto Ghazali Kori
Tertuduh, Aman Shah Said Anib,31, (depan) dan Muhamad Roslan, 45, (belakang) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap penuntut universiti awam. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X