Jumaat, 22 Jun 2018 | 6:35pm

Thailand dakwa peranti peledak bom dihasilkan di Malaysia

BANGKOK: Pegawai polis di selatan Thailand mendakwa peranti peledak yang diubah suai bagi bom yang dirampas pihaknya dari sebuah trak pikap di Narathiwat semalam, di dihasilkan di Malaysia.

Sehubungan itu, pasukan keselamatan di wilayah yang bergolak itu diarah memperhebatkan siasatan berhubung rampasan 41 bom buatan sendiri terbabit semalam.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Jeneral Prawit Wongsuwan, mahu pihak berkuasa mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan bom yang dirampas itu.

"Mereka (pihak berkuasa) perlu cari siapa yang bertanggungjawab membawa bom itu. Mereka perlu menyiasat lagi ," katanya kepada media hari ini.

Beliau turut mengarahkan pegawai berkenaan memburu dan menangkap seorang suspek yang dapat melarikan diri ke hutan berdekatan.

Kenyataannya dibuat ketika pasukan keselamatan Thailand di wilayah selatan meningkatkan lagi pengawasan susulan rampasan bom buatan sendiri itu.

Sementara itu, Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Manas Sikamat dipetik sebagai berkata kepada media tempatan bahawa bom buatan sendiri itu dihasilkan di negara jiran, Malaysia, dengan ia disasarkan kepada pegawai keselamatan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya mengenai asal-usul bom terbabit, namun pegawai Thailand tidak dikenali yang dipetik media tempatan mendakwa bahawa paip PVC yang digunakan bagi menghasilkan bom buatan sendiri itu tidak terdapat di Thailand.

Pegawai yang melakukan pemeriksaan di Kampung Saring, Takbai di Narathiwat pada 11.45 pagi semalam menahan sebuah trak pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun, yang kemudiannya ditahan.

Trak itu dipandu dari Sungai Golok, berhampiran sempadan Thailand-Malaysia dalam daerah Ranget di Narathiwat.

Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas trak itu, pegawai menemui 41 bom buatan sendiri yang disembunyikan di bawah selimut tebal di belakang kenderaan itu bersama dengan peralatan lain termasuk alat penentu masa dan komunikasi, yang disyaki digunakan untuk meletupkan bahan peledak itu.

Menurut pegawai bahagian Letupan, Ordinan dan Pelupusan (EOD) yang berada di tempat kejadian, bom buatan sendiri itu boleh digunakan pada bila-bila masa.

Pertubuhan bukan kerajaan, Deep South Watch (DSW), pula menyatakan bahawa konflik selatan Thailand di antara pasukan keselamatan pemerintah dan kumpulan bersenjata sudah mengorbankan 7,000 nyawa. - BERNAMA

Berita Harian X